KUALA TERENGGANU: Hampir 100 peniaga kecil di sekitar kawasan Jambatan Angkat di sini, berdepan kerugian apabila kanopi jualan mereka rosak dibadai ribut dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang ini.
Ribut disertai hujan lebat dan angin kencang selama hampir satu jam itu menyebabkan sebahagian besar struktur kanopi patah dan ada yang diterbangkan angin.
Difahamkan, ketika kejadian kebanyakan peniaga sedang membuat persiapan untuk memulakan jualan sekitar pukul 4 petang sebelum dikejutkan dengan cuaca buruk.
Seorang peniaga, Tuah Taib, 59, dari Bukit Payong berkata, ia kejadian ketiga kanopinya rosak akibat ribut sepanjang tiga tahun berniaga di lokasi tersebut.
“Kali ini agak teruk, ada tiang kanopi yang patah dan sebahagian struktur rosak. Saya perlu keluarkan kos lebih kurang RM350 untuk baiki semula. Cuaca memang tidak menentu minggu ini tapi ini sumber pendapatan kami. Pelanggan ramai di kawasan ini sebab itu kami masih kekal berniaga di sini walaupun dah beberapa kali terkena kejadian ribut,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi peniaga, Muhammad Zikri Mohd. Noor, 31, berkata, dalam tempoh dua minggu, dua khemahnya rosak akibat ribut di lokasi sama.
“Sebelum ini saya hanya tukar kain khemah dengan kos sekitar RM100 untuk satu kain. Tapi kali ini lebih teruk, struktur khemah ada yang patah dan beberapa meja pelanggan juga rosak. Kos baik pulih kali ini sahaja hampir RM300,” ujarnya. – UTUSAN










