PETALING JAYA: Pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri yang melibatkan bantuan tunai RM100 dan penurunan harga RON95 didakwa sebagai cubaan untuk meredakan kemarahan rakyat menjelang Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengumuman tersebut hanyalah bersifat biasa dan tidak membawa kesan jangka panjang kepada rakyat.
Katanya, pengumuman berkenaan sepatutnya boleh dibuat pada pembentangan Bajet 2026, namun diumumkan lebih awal untuk mengurangkan ketegangan di kalangan rakyat.
“Selain bantuan RM100 untuk semua rakyat dewasa Malaysia yang bernilai RM2 bilion, selebihnya hanyalah pengumuman biasa. Ia boleh sahaja diumumkan pada bila-bila masa, tetapi terpaksa dibuat segera kerana ingin mengurangkan momentum kemarahan rakyat untuk turun berhimpun 26 Julai ini.
“Umpamanya, tidak padan dengan teaser yang ditayangkan seminggu lalu, seolah-olah filem pecah panggung. Rupanya filem cap ayam menggunakan perisian ciplak untuk proses suntingan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mempersoalkan kewajaran pengumuman penurunan harga RON95 sebanyak lima sen yang dibuat sendiri oleh Perdana Menteri dalam siaran langsung televisyen hari ini.
Menurut beliau, penurunan itu terlalu kecil dan tidak sepadan dengan cara ia diumumkan secara besar-besaran.
“RON95 turun 5 sen, tidak padan dengan pengumuman seorang Perdana Menteri secara langsung di kaca televisyen,” katanya.
Mengulas mengenai kenaikan harga lantai padi, beliau berkata, ia tidak memberi manfaat menyeluruh kepada pesawah kerana beban kos pengeluaran yang terus meningkat.
“Cuba tanya pesawah, diesel naik, baja naik, mesin rosak, semua naik. Kos pengeluaran jauh lebih tinggi daripada harga lantai,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Fadhli turut menegaskan, RM2 bilion bantuan tunai itu tidak membawa sebarang makna berbanding RM7.5 bilion hasil daripada penyasaran subsidi diesel. – UTUSAN