'Tegur, kritik dan nasihatlah saya'

‘Tegur, kritik dan nasihatlah saya’

ANWAR Ibrahim (kiri) ketika melakukan gimik pada Majlis Peluncuran Masjid Madani SPT di Taman Arowana, Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau akan terus memimpin negara meskipun terdapat khabar angin mengatakan bahawa akan berlaku Himpunan Turun Anwar buat kali kedua selepas ini.

Enggan menghalang himpunan tersebut, beliau bagaimanapun berharap agar sebarang kelemahan yang berlaku sepanjang tempoh tiga tahun memegang jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara itu tidak lagi dijadikan bahan kritikan atau cacian semata-mata.

“Ada kelemahan? Memang ada. Di bawah pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri, tidak ada kelemahan? Itu tidak betul. (Memang) ada kelemahan. 

“Ada yang belum saya buat? (sebagai Perdana Menteri) Ya, ada. Masih banyak yang saya belum lakukan. Tegurlah, kritiklah dan nasihatlah saya. Tapi dengan cara yang tidak gila. Itu sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Masjid Madani Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, hari ini.

Himpunan Turun Anwar yang diadakan buat kali pertama pada 26 Julai lalu disertai oleh kira-kira 18,000 orang berdasarkan anggaran polis dan berlangsung dalam keadaan terkawal walaupun terdapat beberapa perkara teknikal yang tidak dipersetujui pada peringkat awal.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Masjid Madani yang dibina di atas tapak tanah berkeluasan kira-kira 2.23 hektar bersebelahan Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) itu dijangka siap menjelang suku keempat 2027 nanti.

Jelas beliau, masjid tersebut menelan kos sebanyak RM80 juta menerusi hasil sumbangan dana syarikat-syarikat Islam tempatan serta penderma dari luar negara dengan kerjasama perunding tempatan dan antarabangsa.

Ujarnya, masjid yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan itu juga mampu memuatkan sehingga 5,249 jemaah pada satu-satu masa serta diyakini bakal menjadi sebuah kompleks komuniti Islam moden hasil rekaan daripada arkitek tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN