PETALING JAYA: Tindakan pihak berkuasa menahan dua pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyertai Himpunan Turun Anwar dilihat melanggar hak asasi dan kebebasan rakyat.
Ketua Armada, Hilman Idham berkata, pihaknya menggesa pihak polis segera membebaskan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Syafiq Aziz dan Setiausaha Kerja Armada Bersatu Negeri Perak, Muhammad Furqan Hakimi yang ditahan oleh pihak berkuasa.
Beliau menyifatkan penahanan itu sebagai kejam kerana dibuat dengan menggunakan undang-undang Drakonian atau keras seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi.
“Penahanan kedua-dua anak muda ini adalah satu tindakan politik yang zalim dan menindas kebebasan rakyat untuk bersuara. Apa jua alasan, Armada mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membebaskan mereka berdua dengan kadar segera.
“Ini adalah amaran keras kepada Kerajaan Madani. Bebaskan segera dua tokoh anak muda ini, atau hadap kuasa rakyat melalui kebangkitan anak muda Malaysia yang akan menumbangkan keangkuhan kamu,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan, kedua-dua pemimpin muda itu ditahan dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan lanjut.
Kelmarin, pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard juga ditahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menghina dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan. – UTUSAN










