SHAH ALAM: Penganjuran Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu disifatkan sebagai tindakan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong berkenaan keabsahan kerajaan yang mentabdir negara ini.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, himpunan itu juga dianggap sebagai satu tindakan biadab atau provokatif terhadap kerajaan yang dibentuk mengikut lunas undang-undang.
“Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini dibentuk mengikut lunas undang-undang dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Oleh itu saya dengan penuh tegas menyeru (kepada pembangkang), jangan mencabar kerajaan Yang di-Pertuan Agong. Jangan biarkan emosi politik mengatasi kesetiaan kita kepada perlembagaan dan institusi diraja,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia pada Sabtu lalu melaporkan, polis menganggarkan seramai 18,000 orang
hadir menyertai perhimpunan tersebut.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, himpunan tersebut berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal walaupun terdapat beberapa perkara teknikal yang tidak dipersetujui pada awalnya.
Papparaidu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting berkata, himpunan tersebut bukan melibatkan soal individu atau parti semata-mata, ia adalah tentang menghormati sistem Raja Berperlembagaan dan kelangsungan tadbir urus yang sah.
“Maka, sebarang usaha mencabar keabsahan kerajaan ini secara biadap atau provokatif adalah sama seperti mencabar kuasa Tuanku sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, lebih mengecewakan, terdapat sampah berterabur yang mengotorkan kawasan perhimpunan awam, mencerminkan sikap yang tidak wajar (dalam kalangan peserta perhimpunan).
“Malah, tindakan provokatif seperti simulasi sebatan terhadap patung yang dilekatkan wajah pemimpin utama negara adalah satu perbuatan biadap, tidak bertamadun dan melampaui batas adab masyarakat kita,” tegasnya. – UTUSAN










