Pengecualian SST, nelayan B40 harap tidak terbeban

Pengecualian SST, nelayan B40 harap tidak terbeban

MUHAMMAD Faiz Fadzil (dua dari kanan) beramah mesra dengan salah seorang penerima bantuan enjin sangkut pada Program Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan di Pusat Transformasi Nelayan PNK Perlis Selatan, Kuala Sungai Baru, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan pengecualian pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi beberapa peralatan tangkapan ikan khususnya melibatkan golongan nelayan B40.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, pertimbangan itu perlu dibuat berikutan peluasan cukai berkenaan dibimbangi akan mematahkan semangat golongan nelayan yang terbeban dengan kos tangkapan ikan selepas ini.

Katanya, keadaan itu juga sekali gus dibimbangi memberi kesan khususnya kepada aspek rantaian bekalan ikan buat pengguna.

“Kita kena faham dan hargai ekosistem ekonomi Malaysia ini perlu bergantung kepada sektor makanan sebagai salah satu sektor penting kepada pengembangan dan pembinaan negara.

“Jadi mahu tak mahu, kita kena bantu kerana saya bimbang kalau banyak kos ia akan terbeban kepada nelayan ini sekali gus membuatkan mereka hilang semangat dan beri kesan kepada bekalan ikan sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Program Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan di

Pusat Transformasi Nelayan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Perlis Selatan, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan SST yang diperluas dilaksanakan mulai 1 Julai 2025, dengan cukai jualan sebanyak lima hingga 10 peratus dikenakan ke atas barangan terpilih dan bukan keperluan.

Di bawah struktur yang disemak semula, barangan keperluan termasuk hasil tani segar, buah-buahan tempatan, beras, minyak masak, roti, gula, ubat-ubatan dan bahan binaan kekal dikecualikan daripada cukai jualan.

Walau bagaimanapun, barangan pilihan atau mewah tertentu seperti ketam raja, buah-buahan import, cendawan trufel, minyak pati, dan fabrik sutera akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus manakala barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan antik akan dikenakan cukai jualan yang lebih tinggi sebanyak 10 peratus

Muhammad Faiz berkata, buat masa ini, LKIM tidak mempunyai sebarang rekod menunjukkan terdapat mana-mana nelayan didapati meninggalkan bidang itu berikutan terkesan dengan peluasan cukai tersebut.

“Bagaimanapun saya yakin kerajaan boleh mengkaji semula barangan-barangan berkaitan tangkapan ikan ini khususnya melibatkan golongan B40 agar dapat dikecualikan daripada peluasan SST,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, Program Rahmah Mesra Madani itu melibatkan pemberian bantuan enjin sangkut, sampan, pukat dan barangan kelengkapan kepada para nelayan bagi membantu mengurangkan bebanan dihadapi mereka.

“Pemberian bantuan berkenaan adalah di bawah Program Peningkatan Pendapatan – Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touchpoint) LKIM yang melibatkan kos sebanyak RM60,000. Seramai 100 nelayan turut menerima bantuan bakul makanan pada majlis tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN