Pengalaman bekerja dengan Tun M bentuk dedikasi, disiplin

Pengalaman bekerja dengan Tun M bentuk dedikasi, disiplin

GAMBAR kenangan Dr. Mahathir Mohamad (kiri) bersama Syed Hamid Albar ketika melihat latihan penuh persiapan pembukaan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) di Kuala Lumpur pada 17 Februari 2003. – GAMBAR FAIL MEDIA MULIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengalaman be­kerja di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan sebagai sesi pem­belajaran yang membentuk ketahanan, komitmen dan disiplin dalam menjalankan amanah.

Mengimbau kenangan semasa berkhidmat, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Dr. Mahathir menaruh kepercayaan tinggi kepada barisan Kabinet dan mahukan setiap tugasan dilaksanakan bersungguh-sungguh.

Katanya, Dr. Mahathir bukan seorang yang ambil mudah terhadap tanggungjawab diberikan dan sangat mementingkan prestasi.

“Beliau seorang yang sangat mementingkan prestasi. Apabila bertanya, beliau mahukan jawapan yang tepat. Tidak boleh ‘cincai’.

“Beliau seorang yang sangat terperinci dan tahu apa yang beliau inginkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hari ini, Dr. Mahathir menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100.

Beliau dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah dan menjadi Perdana Menteri selama dua kali iaitu dari 1981 hingga 2003 serta 2018 hingga 2020.

Syed Hamid berkata, Dr. Mahathir sentiasa bersikap terbuka, suka mendengar pandangan dan hanya membuat keputusan selepas meneliti segala input yang diberikan, walaupun tidak mudah didekati.

“Walaupun tegas dan berani, beliau sentiasa cuba memberi perlindungan kepada orang ba­wahan. Kita rasa dilindungi kerana beliau ada prinsip.

“Begitu juga di peringkat an­tarabangsa. Beliau disegani, di peringkat tempatan, dihormati kerana ketajaman pemikirannya,” katanya.

Syed Hamid berkata, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan dalam masa sama, beliau diberikan tanggungjawab bertanding di Johor pada 1986, walaupun pencalonan itu pada mulanya ditolak.

“Namun, pada pilihan raya umum (PRU) 1990, beliau sekali lagi mencalonkan nama saya bagi menggantikan Tun Musa Hitam walaupun Tun Musa sendiri mencadangkan calon lain. Ini sesuatu yang sangat saya hargai,” katanya

Dr. Mahathir menjalani dua pembedahan jantung serta beberapa rawatan kesihatan lain, namun kekal aktif sehingga kini.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kesihatan Dr. Mahathir menjadi bukti bahawa gaya hidup seimbang mampu memanjangkan jangka hayat dan meningkatkan kualiti hidup.

“Dr. Mahathir mengamalkan pemakanan sihat, gaya hidup aktif dan penjagaan kesihatan mental yang baik. Beliau mengelakkan makanan bergula dan berlemak serta menjadikan bacaan al-Quran sebagai rutin harian,” katanya.

Kata Dr. Sharifa Ezat, walaupun gaya hidup masyarakat moden kini berbeza, nilai asas seperti disiplin, pemakanan sederhana dan rehat mencukupi masih relevan untuk diterapkan oleh generasi muda.

“Antara prinsip berkesan yang diamalkan Tun ialah makan dalam jumlah kecil dan tidak mengambil makanan segera. Beliau juga aktif membaca dan berinteraksi, penting untuk kesihatan kognitif,” katanya.

Katanya, negara yang mempunyai sistem kesihatan dan so­kongan sosial baik seperti Korea Selatan dan Jepun turut mencatat jangka hayat tinggi kerana rakyatnya mengamalkan gaya hidup sihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN