SHAH ALAM: Polis menyiasat seorang penceramah bebas berhubung penyebaran video seks bersama isteri-isterinya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada isteri kedua penceramah terbabit pada pukul 12 tengah hari, 16 Jun lalu.
Katanya, pengadu mendakwa lelaki itu menyebarkan video seks dirinya, isteri-isteri dan beberapa wanita lain.
“Bertindak atas siasatan, polis menahan lelaki itu selain merampas dua telefon bimbit dan sebuah komputer riba milik suspek.
“Hasil semakan di telefon itu menemukan beberapa video seks suspek dengan isteri- isterinya dan gambar wanita lain dalam keadaan mengaibkan,” katanya hari ini.
Menurut Mohd. Iqbal, lelaki itu direman selama empat hari sehingga hari ini.
“Suspek diberikan jaminan polis sementara proses melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mira Noraien Norashid di talian 011-11430765 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN