KUALA LUMPUR: Panggung Seni Kota Mahsuri Langkawi pada 25 Julai ini bakal dihidupkan dengan konsert Gelora Puitika.
Lebih istimewa, konsert yang merupakan acara tahunan itu kali ini menggabungkan penyanyi tersohor Ziana Zain sepentas dengan penyanyi lagu-lagu puisi, Umar Uzair.
“Gagasan Puitika adalah sesuatu yang amat peribadi kerana ia sebuah usaha yang dianjurkan oleh masyarakat seni untuk khalayak umum.
“Saya berdebar apatah lagi bakal sepanggung dengan Ziana Zain, tokoh yang boleh saya sebutkan sebagai biduanita balada negara kita,” kata Umar.
Konsert yang diusahakan Meja Poedjangga dengan kerjasama Majalah WM itu dianjurkan untuk meraikan kesenimanan tokoh seni, sastera dan muzik.
Persembahan malam itu nanti bakal dihidupkan dengan iringan pemuzik Orkestra Tradisional Kota Mahsuri.
Gelora Puitika akan dipentaskan dalam bentuk muzikal puisi yang menggabungkan muzik, nyanyian serta deklamasi.
Konsert yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia itu juga seiring usaha mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2025, sekaligus menghangatkan program Kesenian Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tiket berharga RM35 masih dijual dengan cara imbas kod QR yang tertera pada poster konsert Gelora Puitika.- UTUSAN