PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantahan cadangan pembukaan sebuah restoran dari Thailand yang dikenali dengan konsep pelayan lelaki separuh bogel yang dilaporkan akan memulakan operasi di ibu negara.
Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya memandang serius laporan mengenai restoran berkenaan yang dikatakan menjadikan unsur erotik sebagai tarikan utama.
“Perkasa menyifatkan perancangan ini sebagai satu bentuk pencemaran budaya dan penghinaan terbuka terhadap nilai moral, tatasusila serta sensitiviti agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia, khususnya Melayu Islam.
“Kami pendirian tegas menolak sepenuhnya sebarang bentuk hiburan yang menjurus kepada unsur lucah dan bertentangan dengan budaya ketimuran,” katanya dalam kenyataan.
Kata Irwan, pertubuhan itu turut mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar tidak meluluskan sebarang lesen operasi kepada restoran tersebut.
Dalam masa yang sama, Perkasa turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta majlis-majlis agama Islam negeri memantau aktiviti seumpama itu dan mengambil tindakan tegas berdasarkan ruang undang-undang sedia ada.
“Perkasa menyeru umat Islam dan NGO Islamik untuk bersatu menyatakan bantahan terhadap usaha menormalisasikan budaya hedonistik yang diimport dari luar.
“Kami juga menyeru agar Majlis Raja-Raja Melayu turut campur tangan bagi memastikan nilai moral masyarakat tidak terus tercemar,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu tegas dan tidak tunduk kepada tekanan budaya liberal serta kebebasan keterlaluan yang boleh merosakkan struktur sosial dan moral generasi muda negara ini.
“Perkasa tidak menolak kemajuan dan kepelbagaian, tetapi ia mesti berpaksikan kepada nilai yang selari dengan Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Ini Malaysia, bukan Bangkok. Budaya negatif dari luar tidak wajar diberi tempat di negara ini,” katanya. – UTUSAN