MELAKA: Keputusan untuk tidak melanjutkan perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selama enam bulan lagi menunjukkan sikap tidak peduli kerajaan bagi menjaga aspek perundangan atau kehakiman negara.
Dakwa Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, perkara itu wajar dipersoalkan malah ramai dalam kalangan penyokong kerajaan turut berpandangan wajar supaya khidmat Tengku Maiman dilanjutkan.
“Sepatutnya mereka (kerajaan) sendiri faham dan sedar bila ada golongan dalam kalangan penyokong mereka sendiri mahukan supaya Tun Tengku Maimun diberikan lanjutan perkhidmatan tetapi ia tidak berlaku.
“Ini yang kita persoalkan. Apakah kerana mereka hendak mencari. Tetapi nampak gayanya inilah spekulasi yang ada di luar sana yang mengatakan seolah-olah perkara ini sengaja dilakukan untuk memberikan ruang mereka yang dinaikkan itu adalah penyokong kepada Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Bahagian-Bahagian Bersatu Melaka di Ayer Keroh di sini semalam.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, wakil-wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) tidak bercadang untuk membawa perkara tersebut sebagai usul tergempar pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
“Saya tahu apabila usul ini dibawa untuk dibahaskan sudah tentu ia tidak akan diterima majoriti dalam dewan. Mereka akan tolak jadi tidak gunalah saya melaung-laungkan perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN