KANGAR: Pelaksanaan Titah Adendum yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah akan diusahakan secepat mungkin mengikut prosedur perundangan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkara tersebut dan telah memperincikan kaedah-kaedah perundangan yang perlu diikuti.
Beliau berkata, tindakan susulan akan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang melalui proses lembaga pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekarang.
“Insya-Allah akan ada tindakan susulan yang akan dilakukan mengikut prosedur perundangan dan ia sangat bergantung kepada Lembaga Pengampunan.
“Kita akan usahakan secepat mungkin dan proses perundangan ini sangat bergantung kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dan ia harus dihormati oleh kita semua,” katanya ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 160 Bahagian UMNO mendesak Perdana Menteri mengambil tanggungjawab supaya Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah dilaksanakan.
Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan tidak lagi mempunyai alasan munasabah untuk melengahkan pelaksanaan titah diraja itu tersebut yang dianggap jelas dan muktamad.
Sebelum itu, media melaporkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum tersebut sebaliknya mempertikaikan cara dokumen terbabit dikemukakan ke mahkamah untuk diterima sebagai bukti baharu.
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika berucap berkata, proses menuntut pelaksanaan Titah Adendum itu perlu dilakukan secara tertib dan tidak menekan.
“Semakin kita tekan, semakin lama duduk dalam (Najib). Biar barisan kepemimpinan tertinggi mengambil tanggungjawab tersebut. Kita pujuk sosok tubuh berkenaan bantu Najib tanpa memberi tekanan berlebihan.
“Sementara menanti perkara itu, yang diluar ini pula (akar umbi UMNO) harus terus bergerak bagi merelevankan semula UMNO di persada politik tanah air,” katanya.
Mengulas perkara sama, Fathul Bari berkata, pendirian UMNO Bahagian Kangar jelas iaitu mengangkat, menjunjung kedaulatan undang-undang dan kesetian kepada raja-raja berhubung Titah Adendum berkenaan.
Katanya, sebelum ini, mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Najib dan hari ini mahkamah yang sama telah menyatakan bahawa Titah Adendum itu sah.
“Dulu kita terima hukuman dijatuhkan terhadap Najib, kita reda manakala ada pihak tertentu bersorak gembira. Tapi, kenapa hari ini bila mahkamah memutuskan Adendum itu sah, mereka pula marah. Siapa pun, selain Najib sekali pun, apabila benda ini berlaku, kena sokonglah.
“UMNO Kangar, kita konsisten, ini bukan soal bebas atau tidak, ini soal kedaulatan undang-undang dan kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu. Kita kena ikut proses dan usaha semaksimum mungkin untuk memastikan proses perundangan tersebut berjalan dengan lancar, tidak ada gangguan dan sebagainya.
“Kita tidak bermaksud memberi tekanan kepada pihak-pihak berwajib, sebab kita nyatakan, kita mahu benda itu berlaku menepati kedaulatan undang-undang,” katanya. – UTUSAN









