Pelakon lelaki culas bayar nafkah anak-anak - Utusan Malaysia

Pelakon lelaki culas bayar nafkah anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rumah tangga pelakon lelaki ini boleh dikatakan hancur pun disebabkan sikapnya sendiri. 

Masa awal-awal hendak berkahwin dengan isterinya ketika itu, bukan main lagi, kononnya mereka ini pasangan hangat dan dicemburui ramai kerana si pelakon ini pun memang boleh tahan tampannya pada waktu itu. 

Perceraian mereka pun boleh dikatakan mendapat tumpuan ramai juga kerana iyalah, aktor tampan bukan, mestilah dapat perhatian. 

Orang ramai mahu tahulah apa punca dia bercerai dan sebagainya. Ada yang kata aktor ini curang, ada yang kata aktor ini sebenarnya biawak hidup, isteri yang terpaksa jadi provider’dalam rumah tangga. 

Lalu apabila ada anak-anak, lagilah beban itu ditanggung isteri. Makna kata dari segi keperluan anak-anak, persekolahan dan sebagainyalah. Namun, Cik Bunga ingatkan, selepas bercerai aktor ini dapatlah keinsafan dalam usaha mengambil tahu keperluan anak-anak sekurang-kurangnya. 

Rupa-rupanya tidak. Masih juga macam dulu, malah lebih lalai apabila nafkah anak langsung tidak diberikan. Pendek kata, segala benda, bekas isterinyalah yang terpaksa tanggung, walhal anak-anak sedang membesar ini kita tahu, banyak duit perlu dipakai. 

Sumber Cik Bunga beritahu, aktor itu pun masih dalam ‘dunia khayalan’ dia. Rasa diri elok, masih kacak macam zaman kegemilangan dia, walhal, usia sudah semakin meningkat ini saham dia pun sudah jatuh. 

Makin jatuhlah macam ini kalau cari duit pun culas, malas. Macam mana itu? Dengar-dengar, bekas isterinya pun sudah putus asa hendak berkomunikasi dengan aktor itu. Macam cakap dengan tembok, tidak jadi apa. 

Sudahnya, dia uruskan anak-anak sendiri tanpa mengharapkan bantuan bekas suami. 

Esok-esok, Cik Bunga pasti, anak-anaknya akan ingat siapa yang sentiasa bekerja kuat untuk mereka dan berada di sisi mereka dari kecil. 

Kalau anak-anak lupakan awak suatu hari nanti, jangan ditanya dan ditangisi kenapalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN