Pas tidak laparkan jawatan - Idris

Pas tidak laparkan jawatan – Idris

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menegaskan parti itu tidak pernah kemaruk dengan sebarang jawatan apatah lagi dengan peluang untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, parti itu tidak sesekali akan menjual maruah demi jawatan.

“Pas tidak lapar jawatan, lebih-lebih lagi apabila jawatan itu datang dari dapur yang sedang berasap dan dapur sendiri pun tak terurus.

“Nak ajak Pas masuk kapal bocor, lepas tu hulur pelampung bernama TPM? Maaf, Pas tidak jual maruah demi jawatan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr. Maszlee Malik yang menjangkakan penyertaan Pas ke dalam Kerajaan Perpaduan adalah lebih baik dan peluang untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri lebih cerah.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut menyindir tindakan Maszlee yang disifatkan seperti mimpi di siang hari dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

“Entah mimpi waktu tidur ke atau memang tugas khas hendak alih perhatian dari kapal yang sedang karam?

“Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 25 Julai lalu jelas menyatakan tiada ruang untuk bersekongkol dengan puak yang sedang tenggelam dalam krisis kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN