PARLIMEN: Teknologi AI kenal pasti titik panas denggi

PARLIMEN: Teknologi AI kenal pasti titik panas denggi

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan kaedah berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti titik panas penularan wabak denggi di seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penggunaan AI itu merupakan antara langkah proaktif kerajaan dalam membendung penularan penyakit bawaan nyamuk Aedes tersebut.

Menurut beliau, meskipun jumlah kematian akibat denggi menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu, kesannya masih membimbangkan.

“Tahun ini, sebanyak 21 kematian direkodkan akibat denggi manakala kematian akibat Covid-19 hanya satu.

“Namun, jumlah ini jauh lebih rendah berbanding tahun lalu yang mencatatkan 83,000 kes dan 117 kematian,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN–Kuala Langat) mengenai status pembangunan vaksin denggi dan cadangan memperkenalkan program vaksinasi kebangsaan untuk penyakit tersebut yang kini dikategorikan sebagai endemik.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, satu projek penyelidikan vaksin denggi bertajuk Development of Next-Generation Dengue Vaccine: Oral Vaccine for Dengue (ORAVAD) sedang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Malaya dengan dana di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain itu, katanya, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan pendaftaran bersyarat selama dua tahun bagi vaksin denggi berjenama Qdenga bermula 8 Februari lalu.

“Dalam tempoh pendaftaran bersyarat ini, syarikat pengeluar vaksin perlu mengemukakan laporan berkala mengenai keberkesanan dan keselamatan produk melibatkan penerima tempatan kepada PBKD,” jelasnya.

Namun begitu, buat masa ini, KKM belum merancang untuk memasukkan vaksin Qdenga dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

“Ini kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penggunaan vaksin tersebut hanya di negara dengan kadar jangkitan denggi (seroprevalens) melebihi 60 peratus pada usia sembilan tahun atau kadar kemasukan ke hospital tertinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah 16 tahun. Malaysia masih belum memenuhi kriteria itu,” katanya.

Tambah beliau, KKM akan terus memantau dan menilai kemajuan pembangunan vaksin denggi berdasarkan bukti saintifik kukuh termasuk dari segi keberkesanan, keselamatan dan kos, sebelum membuat keputusan untuk memperkenalkannya dalam program imunisasi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini