KLUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyelaraskan undang-undang bagi menangani kes-kes insolvensi rentas sempadan yang kini menjadi keperluan mendesak dalam era globalisasi dan liberalisasi ekonomi antarabangsa.
Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, walaupun Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan dilihat mampu menyelaras aspek perundangan dengan standard antarabangsa, tetapi beberapa persoalan utama masih memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak kerajaan.
“Pertama, sejauh mana kedaulatan perundangan negara ini kekal terpelihara dengan penggubalan RUU ini, dan adakah semua keputusan serta prosiding akan melalui Mahkamah Tinggi di Malaysia terlebih dahulu,” soalnya Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sama ada institusi kewangan, syarikat insurans dan entiti sistemik lain benar-benar terikat dengan akta ini, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti strategik dalam sektor tenaga, telekomunikasi dan pertahanan.
“Ketelusan dalam perkara ini penting bagi mengelakkan struktur korporat Malaysia dieksploitasi oleh entiti asing,” katanya.
Ahmad turut meminta kerajaan memberi contoh senario pelanggaran Model Law on Cross-Border Insolvency (MLCBI) dengan dasar awam negara lain serta pendekatan bagi mengharmonikan undang-undang domestik dengan model perundangan antarabangsa yang lebih universal.
Mengulas mengenai pengecualian atau ‘reservasi dasar awam’ yang dimasukkan dalam RUU berkenaan, beliau menyifatkan istilah itu masih kabur dan terbuka kepada pelbagai tafsiran.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan garis panduan atau tafsiran rasmi mengenai maksud sebenar ‘dasar awam’ dalam konteks ini demi menjamin kepastian undang-undang,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan persoalan berkaitan bentuk kerjasama serantau atau perjanjian dua hala yang bakal diteroka bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan akta ini selepas diluluskan.
Beliau juga menyoal sama ada latihan dan persediaan sewajarnya telah dirangka untuk para hakim serta peguam dalam memahami prosedur teknikal berkaitan kes-kes insolvensi antarabangsa.
Walaupun akta ini secara teknikal tidak terpakai kepada individu seperti yang diperuntukkan dalam subfasal 32, Ahmad mencadangkan agar kerajaan turut mempertimbangkan penggubalan undang-undang khas berkaitan kebankrapan individu rentas sempadan.
“Inisiatif ini penting bagi melindungi rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara,” katanya. – UTUSAN