PARLIMEN: RUU Perikanan (Pindaan) 2025 dibentang bagi bacaan kali pertama

PARLIMEN: RUU Perikanan (Pindaan) 2025 dibentang bagi bacaan kali pertama

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025) antara lain mencadangkan peningkatan penalti am daripada RM20,000 kepada RM100,000 bagi kesalahan berkaitan aktiviti perikanan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika membentangkan usul tersebut berkata, bacaan kali kedua dan ketiga turut dijadual pada sesi yang sama.

Berdasarkan naskhah biru yang diedarkan, pindaan itu bertujuan memperkukuh Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dengan memperkenalkan elemen pengurusan perikanan yang lebih selaras dengan tuntutan semasa industri termasuk kehendak di peringkat antarabangsa.

“Antara perubahan utama dicadangkan adalah pindaan terhadap Seksyen 26 yang melibatkan hukuman ke atas perbuatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun, bahan pencemar, alatan elektrik serta peranti yang dilarang penggunaannya di laut.

“Selain itu, RUU ini turut mencadangkan pindaan terhadap subseksyen 27(1) bagi melarang sebarang aktiviti menangkap, mengganggu, memindahkan, menyimpan atau memperdagangkan spesies mamalia akuatik dan penyu termasuk bahagian tubuh dan produk terbitannya yang dijumpai di luar bidang kuasa negeri,” kata keterangan nashkah tersebut.

Menurut nashkah yang diedarkan, Subfasal 21(b) turut menyarankan agar subseksyen 27(4) dipinda bagi menaikkan kadar denda ke atas pesalah yang melibatkan mamalia akuatik atau penyu di perairan perikanan negara, daripada maksimum RM5,000 kepada RM250,000.

Pindaan ini dilihat sebagai langkah tegas kerajaan dalam memastikan kelestarian sumber marin negara terus terpelihara dan seiring dengan amalan pengurusan perikanan yang mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN