KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Fi (Feri Pengkalan Kubor) 2025 yang disifatkan mampu menyelesaikan isu teknikal dan perundangan yang tertangguh lebih dua dekad.
Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis) berkata, kelulusan RUU itu bukan sahaja mengesahkan semula kutipan fi feri yang telah dijalankan sejak 1999, malah memperkukuh integriti kewangan negara serta menjamin ketelusan dalam pengurusan hasil awam.
“RUU ini menyelesaikan isu perundangan yang tertangguh sejak sekian lama dan memberikan perlindungan undang-undang kepada kutipan fi oleh kerajaan selama lebih 20 tahun,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Yusuf berkata, kutipan fi di Pengkalan Kubor pada asalnya dijalankan secara sah bermula tahun 1990 mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Bagaimanapun, selepas pindaan pada 1999 yang meletakkan kutipan tersebut di bawah Akta Fee 1941, tiada pewartaan semula dibuat, sekali gus menjadikan kutipan fi antara 1999 hingga 2024 tidak selaras dengan keperluan undang-undang.
“RUU ini bertujuan menyelesaikan kekosongan perundangan tersebut dan mencegah ketidakpatuhan undang-undang daripada terus berulang. Ini membuktikan pendekatan fiskal yang bertanggungjawab serta tadbir urus telus oleh Kerajaan Madani,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yusuf berkata, kadar fi yang dikenakan sejak 1990 sehingga kini adalah berpatutan dan tidak membebankan rakyat meskipun disesuaikan mengikut kos operasi semasa.
“Isu ini bukan soal menaikkan kadar fi secara mendadak, sebaliknya mewujudkan sistem kutipan fi yang lebih berakauntabiliti serta sah dari segi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, hasil kutipan fi sejak 1999 melibatkan jumlah jutaan ringgit namun masih belum mencukupi untuk menampung kos pengoperasian tahunan perkhidmatan feri yang ditanggung kerajaan demi kemudahan rakyat.
Katanya, terdapat keperluan penyelenggaraan berkala terhadap kemudahan feri agar keselamatan dan kelancaran perkhidmatan dapat dijamin khususnya bagi komuniti yang bergantung kepada pengangkutan air tersebut.
“Sebagai wakil rakyat dari kawasan yang sering menggunakan perkhidmatan feri, saya amat memahami keperluan infrastruktur ini. Kita mahu perkhidmatan yang selamat, berkualiti dan menepati jadual,” katanya. – UTUSAN