KUALA LUMPUR: Malaysia akan membawa cadangan pindaan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghalang penyalahgunaan kuasa veto khususnya dalam isu membabitkan jenayah genosid, pemusnahan infrastruktur awam dan pelanggaran hak asasi manusia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu akan diketengahkan dalam Perhimpunan Agung PBB yang dijadual berlangsung September ini agar mendapat sokongan majoriti masyarakat antarabangsa.
Katanya, penggunaan kuasa veto secara sewenang-wenangnya oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB telah menjejaskan banyak usaha global dalam menangani konflik besar termasuk di Gaza.
“Usul penubuhan negara Palestin yang merdeka sebelum ini mendapat sokongan majoriti di Perhimpunan Agung PBB, namun disekat oleh kuasa veto.
“Sebab itu Malaysia berpendirian bahawa piagam PBB perlu dipinda agar kuasa veto tidak lagi menjadi penghalang terhadap tindakan tegas ke atas kekejaman, genosid dan jenayah kemanusiaan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta penjelasan mengenai platform antarabangsa atau inisiatif diplomatik khusus akan digunakan oleh Malaysia untuk menangani krisis kemanusiaan di Gaza dan untuk menyokong resolusi aman terhadap konflik yang melibatkan Israel termasuk ketegangan Israel-Iran.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, krisis di Gaza adalah bukti nyata kegagalan sistem sedia ada apabila pelanggaran hak asasi manusia yang melampau dibiarkan berlarutan tanpa tindakan konkrit akibat kuasa veto.
“Rakyat Gaza dibunuh seolah-olah nyawa mereka tiada nilai. Mereka kelaparan hampir empat bulan, bantuan kemanusiaan pula disekat. Kanak-kanak dan wanita ditembak tanpa belas kasihan.
“Kekejaman ini tidak boleh dibiarkan dan Malaysia akan terus membawa suara dalam menuntut keadilan untuk Palestin di semua forum antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan telah memperkukuhkan usaha diplomatik termasuk melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 baru-baru ini yang dipengerusikan bersama dengan Jepun bagi merangka hala tuju bantuan dan tekanan diplomatik terhadap rejim Zionis.
“Malaysia konsisten menyuarakan isu ini sejak dahulu sama ada di PBB, Majlis Keselamatan atau forum dua hala dan pelbagai hala. Kita tidak akan berhenti sehingga keadilan berpihak kepada rakyat Palestin,” katanya.-UTUSAN










