KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menyemak semula jumlah pelepasan cukai bagi diri sendiri dan insurans hayat dalam masa terdekat, meskipun jumlah tersebut tidak berubah sejak lebih 15 tahun lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun pelepasan peribadi sebanyak RM9,000 dan insurans hayat sebanyak RM3,000 tidak dinaikkan, kerajaan tetap komited untuk menambah baik pelepasan cukai lain yang lebih bersasar dan relevan dengan keperluan semasa.
“Setakat ini, tiada rancangan untuk menyemak semula pelepasan cukai bagi diri sendiri dan insurans hayat. Namun, kerajaan terus menambah baik pelepasan cukai pendapatan yang layak dituntut oleh pembayar cukai individu,” katanya dalam jawapan bertulis hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN–Ayer Hitam) mengenai keperluan menyemak semula jumlah pelepasan cukai pendapatan individu memandangkan inflasi telah mengurangkan nilai manfaat pelepasan tersebut.
Amir Hamzah berkata, ketika ini terdapat 24 jenis pelepasan cukai disediakan kepada pembayar cukai individu, merangkumi kategori diri sendiri, pasangan dan anak, penjagaan kesihatan, pendidikan, gaya hidup serta insurans dan persaraan.
Menurut beliau, menerusi Belanjawan 2023 hingga 2025, beberapa inisiatif telah dilaksanakan termasuk menaikkan had pelepasan bagi perbelanjaan rawatan perubatan, elaun penjagaan anak, individu orang kurang upaya (OKU) serta insurans pendidikan dan perubatan yang dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM4,000.
“Selain itu, skop pelepasan turut diperluaskan, antaranya merangkumi penjagaan dan rawatan datuk serta nenek, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan kendiri dan bayaran ujian pengesanan penyakit,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan pelepasan cukai baharu sehingga RM7,000 untuk perbelanjaan berkaitan pendidikan dan kesihatan serta pelepasan sehingga RM5,000 bagi pembelian rumah pertama berharga antara RM500,000 hingga RM750,000 bagi perjanjian jual beli yang dimeterai dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
“Kerajaan juga telah menstruktur semula kadar cukai individu bermula tahun taksiran 2023, dengan penurunan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM35,001 hingga RM100,000. Langkah ini memberi tambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 setahun kepada kira-kira 2.4 juta pembayar cukai,” katanya.
“Sebarang kajian semula dasar cukai perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan kedudukan fiskal negara, selain mengekalkan sistem percukaian yang progresif dan seiring dengan amalan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










