KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan status peruntukkan RM10 juta yang disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Negara (LKIM) bagi membina rumah baharu dan baik pulih kediaman nelayan uzur.
Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, inisiatif itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan Tahun 2024 bagi meringankan beban golongan berkenaan.
Katanya, ini kerana pada setiap kali musim tengkujuh tiba banyak kerosakan kediaman nelayan terutama di negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.
“Apakah status peruntukkan RM10 juta yang disediakan oleh LKIM, khas untuk membantu membaik pulih kerosakan rumah nelayan yang musnah akibat hakisan dari Monsun Timur Laut di kawasan Pantai Timur setiap tahun.
“Apakah ada inisiatif sokongan pembiayaan untuk membantu meringankan beban nelayan sama ada dengan pinjaman bantu mereka,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perikanan 2025.
Sebelum ini dilaporkan Belanjawan 2024 turut mengumumkan untuk mengekalkan subsidi diesel terendah RM1.65 seliter kepada nelayan kelas tertentu selain elaun sara hidup sehingga RM1,000 sebulan.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan itu turut menyentuh mengenai masa depan industri perikanan negara bagi menjadikan nelayan sebagai kerjaya moden, profesional dan sofistikated menerusi pindaan itu. – UTUSAN