PARLIMEN: RUU Tadbir Urus AI dibentang tahun ini

PARLIMEN: RUU Tadbir Urus AI dibentang tahun ini

GOBIND SINGH DEO - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital sedang merangka Rang Undang-undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang bakal dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ia bertujuan menangani ancaman teknologi yang semakin kompleks termasuk manipulasi `deepfake.’

Katanya, kerangka perundangan yang kukuh dan jelas diperlukan bagi mengawal selia kandungan janaan Al, melindungi integriti maklumat serta memastikan keselamatan keseluruhan ekosistem digital negara terus terpelihara.

“Antara elemen utama RUU ini ialah penegasan terhadap konsep akauntabiliti iaitu penetapan tanggungjawab yang jelas ke atas entiti yang membangunkan atau melaksanakan sistem AI.

“Penyedia teknologi diwajibkan melaksanakan pengurusan risiko secara proaktif serta mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kemudaratan kepada rakyat,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat, hari ini.

Gobind berkata, tindakan penguatkuasaan boleh diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sekiranya berlaku kecuaian sehingga sistem AI disalahgunakan bagi tujuan penipuan atau menimbulkan ancaman keselamatan.

Katanya, RUU berkenaan turut memperuntukkan mekanisme pelaporan insiden dan kemudaratan AI khususnya bagi menangani ancaman deepfake yang semakin canggih.

“Mekanisme ini penting kerana ia membolehkan kerajaan mengenal pasti pola ancaman secara lebih pantas dan tersusun.

“Dengan adanya maklumat lebih jelas dan teratur, tindakan mitigasi dan pencegahan dapat diambil dengan segera sebelum ancaman tersebut merebak dan membawa kesan lebih besar,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan sedang menggubal RUU Jenayah Siber yang baharu bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997.

“RUU baharu itu akan memasukkan peruntukan khusus berkaitan penyalahgunaan AI dalam aktiviti jenayah siber termasuk kecurian identiti digital dan kandungan deepfake berniat jahat,” katanya.

Mengenai keselamatan data, Gobind berkata, CyberSecurity Malaysia kini sedang memuktamadkan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data Nasional 2026-2030 bagi membina keyakinan rakyat terhadap ekosistem digital negara.

Katanya, kementerian juga sedang memperincikan penubuhan Suruhanjaya Data sebagai badan kawał memastikan kedaulatan data negara sentiasa terpelihara.

“Turut dalam perancangan ialah pembangunan keupayaan forensik digital tempatan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN