KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses meminda Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] yang tidak pernah mengalami sebarang pindaan substantif sejak dikuatkuasakan pada 1954 atau 71 tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu kajian semakan pindaan akta berkenaan sedang dilaksanakan bagi memperhalusi peruntukan sedia ada dan mengenal pasti jurang pelaksanaan agar hak dan pembangunan masyarakat Orang Asli terus terjamin.
“Antara perkara yang dikenal pasti hasil dapatan awal kajian serta sesi libat urus berkaitan pindaan ini termasuk isu tanah adat, hal ehwal kebajikan, pengurusan perkahwinan adat dan tadbir urus kepimpinan tradisi masyarakat Orang Asli,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk meminda Akta Orang Asli 1954 bagi menjamin perlindungan hak serta kemajuan komuniti tersebut.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, isu tanah merupakan antara perkara penting yang akan diteliti secara mendalam kerana ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah akan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan-kerajaan negeri melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) sebelum dibawa ke peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Selain itu, pelbagai input turut diperoleh melalui soal selidik serta sesi libat urus bersama kepimpinan Orang Asli dan agensi berkaitan agar draf pindaan Akta ini benar-benar komprehensif dan holistik.
“Hasil kajian akan digunakan untuk merangka draf Rang Undang-Undang pindaan Akta 134 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat kelak,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan komited memastikan perlindungan hak serta pembangunan masyarakat Orang Asli bukan sahaja kekal terjamin, malah terus diperkukuh dari semasa ke semasa. – UTUSAN