KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi sedang meneliti kemungkinan melarang kanak-kanak berusia bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial bagi melindungi golongan muda daripada pendedahan awal terhadap kandungan berbahaya di platform digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun penggunaan platform seperti TikTok dalam kalangan pelajar sekolah rendah semakin meluas, ia sebenarnya melanggar syarat umur minimum yang ditetapkan oleh penyedia platform itu sendiri.
“Kalau kita tanya pelajar bawah 13 tahun sama ada mereka ada akaun TikTok, ramai akan jawab ‘ya’. Tetapi ini sebenarnya satu kesalahan, malah diakui sendiri oleh TikTok.
“Justeru, salah satu pendekatan yang sedang dipertimbang ialah melarang golongan bawah 13 tahun daripada mempunyai akaun media sosial langsung,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) yang mencadangkan kerajaan mewujudkan dasar kebangsaan khusus bagi melindungi kesejahteraan kanak-kanak dalam talian.
Fahmi berkata, bagi remaja berusia 13 tahun ke atas pula, kerajaan melihat keperluan memperkenalkan modul literasi digital bagi mendidik mereka tentang kepelbagaian serta kerumitan maklumat dalam talian.-UTUSAN










