KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen menyuarakan kebimbangan akan keberkesanan kempen-kempen kesedaran perpaduan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dalam menangani sentimen perkauman dan ekstremisme agama di media sosial.
Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mempersoalkan sama ada penilaian impak telah dibuat terhadap pelaksanaan kempen-kempen tersebut.
“Syabas atas pelaksanaan dan pemantauan kempen yang telah dijalankan. Namun, sejauh manakah keberkesanan kempen-kempen ini? Adakah terdapat penilaian impak dibuat terhadap usaha tersebut,” tanya beliau dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini,
Muhammad Ismi turut meminta kementerian merangka strategi jangka panjang dalam membina dan mengukuhkan perpaduan nasional, khususnya dalam kalangan generasi muda yang lebih terdedah kepada pengaruh media sosial.
Katanya, kementerian perlu lebih proaktif dalam pendekatan mendidik dan memupuk kefahaman nilai perpaduan secara berterusan dan menyeluruh, terutama melalui platform yang dekat dengan jiwa anak muda.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menjelaskan bahawa kementerian telah melaksanakan pelbagai bentuk program melibatkan pelbagai peringkat umur dan komuniti, serta turut membuat kajian keberkesanan terhadap program yang dilaksanakan.- UTUSAN