Agensi pelancongan tidak bertanggungjawab punca penipuan haji, umrah

PARLIMEN: Agensi pelancongan tidak bertanggungjawab punca penipuan haji, umrah

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah agensi pelancongan dikenal pasti antara punca utama berlakunya kes penipuan membabitkan ibadah haji dan umrah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kerajaan sentiasa menekankan aspek kesedaran kepada umat Islam mengenai keperluan mendapatkan permit sah sebelum menunaikan haji.

“Saya tidak melihat isu utama ini terletak pada soal haji atau umrah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atau Lembaga Tabung Haji (TH).

“Apa yang lebih penting ialah kesedaran masyarakat dan sifat tanggungjawab dalam kalangan pengusaha agensi pelancongan itu sendiri,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH–Balik Pulau) berhubung kes penipuan membabitkan 47 jemaah haji Malaysia yang terkandas di Jeddah setelah dipercayai memasuki negara itu menggunakan visa pelancong bagi menunaikan haji secara tidak sah.

Mohd. Na’im berkata, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang melibatkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), MOTAC dan TH bagi membendung kegiatan penipuan.

“Sekiranya ada maklumat awal yang diterima, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan termasuk menghalang mana-mana individu atau syarikat daripada membawa jemaah ke Tanah Suci tanpa permit sah.

“Namun, dalam kes membabitkan 47 jemaah baru-baru ini, mereka memasuki negara lain terlebih dahulu sebelum ke Arab Saudi. Maka kita tidak boleh menghalang perjalanan mereka dari awal kerana mereka berlepas secara sah,” ujarnya.

Kata beliau, cadangan urusan berkaitan ibadah umrah dipindahkan kepada TH daripada MOTAC sedang dibincangkan bagi memastikan pengurusan lebih tersusun dan berpusat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN