KUALA LUMPUR: Sebanyak 287 kes berkaitan bahan pornografi kanak-kanak membabitkan penghasilan, pemilikan, penyebaran, akses, muat turun dan muat naik telah disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2012 hingga Jun 2025.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kes-kes ini disiasat di bawah Seksyen 4 hingga 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan berada di bawah pemantauan Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
“Kesemua kes ini melibatkan pelbagai bentuk eksploitasi seksual digital terhadap kanak-kanak. Namun begitu, jumlah kes yang telah didakwa dan disabitkan kesalahan masih memerlukan pengesahan lanjut serta pengemaskinian status siasatan semasa,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) berhubung jumlah kes bahan pornografi kanak-kanak yang telah disiasat, didakwa dan disabitkan kesalahan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, berdasarkan Statistik Kes D11 Mengikut Pecahan Kesalahan bagi tempoh 2021 hingga Jun 2025, sebanyak 102 kes melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan 81 kes komunikasi seksual dengan kanak-kanak.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited untuk memperkukuh siasatan dan pendakwaan melalui kerjasama strategik dengan agensi dalam dan luar negara serta penggunaan teknologi forensik digital yang lebih canggih bagi membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak secara lebih berkesan.
“Selain itu, terdapat 48 kes pemilikan bahan lucah, 332 kes berkaitan amang seksual fizikal dan 32 kes melibatkan perdagangan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual.
“Ini menunjukkan trend membimbangkan dalam jenayah seksual terhadap kanak-kanak, khususnya yang membabitkan ruang siber,” ujarnya.-UTUSAN










