Pangkalan Cawangan MPV mampu perkukuh tugasan rondaan cegah jenayah 

Pangkalan Cawangan MPV mampu perkukuh tugasan rondaan cegah jenayah 

Datuk Rusdi Mohd. Isa pada sidang akhbar selepas merasmikan Pangkalan Cawangan MPV di Jinjang di sini hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kewujudan Pangkalan Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mampu memperkukuhkan tugasan rondaan cegah jenayah serta meningkatkan keberkesanan pasukan dalam menangani aduan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, usaha membangunkan pangkalan itu merupakan cadangan Ketua Polis Daerah Sentul susulan kekangan ruang parkir khusus kenderaan MPV di kawasan Balai Polis Jinjang.

“Melalui kajian yang dibuat, kawasan stor barang kes terbiar bersebelahan Lokap Berpusat Jinjang dikenal pasti sesuai dijadikan pangkalan tetap MPV.

“Cadangan ini mendapat kelulusan Ketua Polis Kuala Lumpur pada penghujung tahun lalu, sebelum kerja pengubahsuaian dilaksanakan awal tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pangkalan Cawangan MPV di Jinjang di sini hari ini. 

Rusdi berkata, projek itu direalisasikan dengan sumbangan antaranya Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng sebanyak RM250,000, dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh Tseow, sebanyak RM15,000, selain beberapa penyumbang lain.

Rusdi dalam ucapannya berkata,  penubuhan pangkalan ini adalah simbolik kepada komitmen berterusan PDRM, khususnya IPD Sentul, untuk meningkatkan keberkesanan rondaan cegah jenayah dan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis.

“Unit MPV adalah barisan hadapan dalam rondaan, pemantauan, dan tindakan segera terhadap laporan orang awam. Unit ini amat penting dalam operasi Polis Kuala Lumpur terutamanya untuk rondaan 24 jam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Unit MPV  dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Sentul mencatatkan tangkapan tertinggi tahun lalu dengan 1,115 individu membabitkan pelbagai kesalahan. 

Katanya, unit terbabit memainkan peranan penting dalam usaha pihak polis membanteras dan mencegah jenayah kawasan perumahan dan lokasi yang kerap berlakunya aktiviti jenayah.

“Ketika saya menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur dahulu, saya memang menitik beratkan unit ini, mereka adalah petugas barisan hadapan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Unit ini berjaya membuktikan kejayaan, berdasarkan statistik bagi tahun 2024 menunjukkan jumlah laporan yang dibuat adalah sebanyak 1,127 dan tangkapan seramai 1,115 orang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini