Sering kali kita dengar pengalaman pemilik kucing aktif, selalunya membawa hasil buruan seperti tikus, burung kecil atau lipas dan akan diletak di depan pintu rumah tuannya.
Namun, berbeza dengan si comel milik Noraini Darus, 55, yang dikenali sebagai Oyen mempunyai hobi yang unik berbanding dengan tiga lagi kucing peliharaannya.
Menurut perkongsian Noraini, setiap kali si bulus kacukan kucing parsi itu berjalan di sekitar perumahan, ia gemar membawa balik sampah kecil, seperti kotak rokok, kertas dan daun.
Namun, sejak dua bulan lepas, Oyen mempunyai perangai baharu, di mana ia membawa selipar jiran balik ke rumah.
Peliknya, si bulus itu hanya akan membiarkan selipar dan kasut yang dibawa pulang dibiarkan di luar rumah tanpa ada niat untuk bermain dengannya.
“Oyen akan mengeluarkan suaranya yang kecil sambil menggonggong selipar mahupun sandal, seakan-akan ia tengah menyampaikan cerita di sebalik barang jiran yang diambilnya,” katanya kepada Seri.
Tingkah laku Oyen yang mencuit hati itu mendorong Noraini berkongsikan video yang diambilnya di media sosial dan tidak menyangka menjadi tular sehingga kini.
Malah, disebabkan si comel itu semakin gemar dengan keletah nakalnya, Noraini turut menyedari ‘hasil buruan’ berupa selipar dan sandal yang dibawa pulang kini sering lengkap berpasangan.
Tidak seperti kucing lain yang suka bermain hingga ke senja, Oyen lebih gemar merayau pada waktu pagi sebelum pulang berehat sepanjang hari.
Tambahnya, dia tidak risau sekiranya kucingnya itu berkeliaran di luar, kerana Oyen hanya akan berjalan di kawasan perumahannya sahaja.
Gemar makan ayam
Noraini berkata, sebelum ini, anak-anaknya pernah menukarkan jenis makanan basah bagi kucing-kucingnya kepada perisa tuna.
Namun, Oyen tidak mempunyai minat untuk mencuba makanan basah jenis lain. Kucingnya itu lebih gemar mencuba perisa ayam berbanding ikan.
Katanya, sejak kecil lagi, dia biasa memberikan kucing peliharaannya rebusan ayam yang telah ditumbuk halus, kemudian dicampur bersama makanan kering sebagai hidangan istimewa.
Walaupun Oyen kini sudah berusia lima tahun, selera makannya sentiasa membuak-buak.
Tidak hairanlah sesiapa sahaja yang melihat kucing itu pasti akan terpukau dengan kegebuan dan tubuhnya yang montel.
Malah, jika tuannya lewat memberinya makan, si bulus manja itu tidak teragak-agak untuk mengiau kuat sebagai isyarat perutnya sudah mula berkeroncong.
Berdisiplin hanya di depan ‘atuk’
Oyen tidak pernah menunjukkan sebarang kerenah apabila suami Noraini yang mesra digelar ‘atuk’, mengambil tugas memandikannya.
Katanya, Oyen bukanlah kucing yang takutkan air atau panik apabila tiba waktu mandi.
“Namun, sejak Oyen meningkat dewasa, ia mula menunjukkan sikap membantah setiap kali ahli keluarga lain, termasuk saya sendiri cuba memandikannya,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa suaminya mempunyai teknik yang betul dan penuh ketenangan ketika mengendalikan haiwan peliharaan, menjadikan Oyen lebih relaks serta tidak meronta ketika dimandikan.
Malah, Oyen juga lebih suka sekiranya ‘atuk’ yang memotong kukunya.
Mungkin kerana sudah terbiasa dengan sentuhan lembut dan suara tenang, membuatkannya berasa selamat dan tidak terancam sepanjang proses itu.
Pendek kata, si montel itu cukup menurut perintah di depan ‘atuk’ dan perangai ‘nakalnya’ hanya keluar apabila ‘atuk’ tiada di rumah.-UTUSAN










