PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenalpasti dua lagi syarikat terlibat dalam dakwaan merasuah ekoran penahanan pengurus projek berhubung siasatan kes rasuah perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor, baru-baru ini.
Menurut sumber, siasatan mendapati suspek utama iaitu pengurus projek mengaku telah meminta sebanyak tiga peratus daripada nilai projek daripada mana-mana syarikat terlibat.
Katanya, ia dilakukan dengan membocorkan harga tender projek selain membantu memastikan syarikat-syarikat yang membayar rasuah untuk memenangi tender tersebut.
“Wang rasuah ini dibayar secara berperingkat mengikut kemajuan pembayaran projek.
“Difahamkan terdapat beberapa juta lagi yang masih belum dibayar oleh syarikat kepada suspek sepertimana perjanjian mereka
“Justeru itu beberapa pengarah syarikat terbabit bakal dipanggil SPRM untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka ditahan SPRM berhubung siasatan kes rasuah perolehan tender projek pembinaan pusat data menerusi Op Ways.
Ketika serbuan di rumahnya di Petaling Jaya, pasukan pegawai SPRM menemukan wang kertas RM100 keseluruhannya berjumlah hampir RM1 juta dalam keadaan sudah terbakar.
Dia disyaki membakar wang tunai hampir RM1 juta selepas dikejutkan dengan serbuan SPRM melalui Op Ways, Khamis lalu.
Hasil pemeriksaan menyeluruh di rumah suspek menemukan wang tunai RM7.5 juta yang disimpan di dalam beberapa kotak bantal, tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.
Pengurus projek terbabit dan isterinya masing-masing kemudian direman tujuh hari dan tiga hari, manakala dua lelaki berjawatan pengarah syarikat direman lima hari.- UTUSAN










