Op Metal: SPRM sita, beku harta serta akaun bank bernilai RM332.5 juta - Utusan Malaysia

Op Metal: SPRM sita, beku harta serta akaun bank bernilai RM332.5 juta

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah pembekuan dan penyitaan harta membabitkan sindiket penyeludupan besi buruk melalui Op Metal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini berjumlah RM332.5 juta. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki berkata, sehingga kini sitaan berkenaan membabitkan tanah bernilai RM165 juta, kereta (RM1.9 juta) serta rumah (RM15.5 juta).

Katanya, turut disita adalah jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM740,00 manakala akaun bank dibekukan kira-kira RM149.5 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini seramai 27 orang sudah dirakam percakapan membabitkan pengarah syarikat, dua agensi penguat kuasa, pemilik syarikat, pengurus akaun dan forwarding ejen.

“Fokus siasatan adalah menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Menurutnya, pasukan penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram termasuk siasatan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, serta Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi lain yang terlibat dalam operasi terbabit. 

Sebelum ini media melaporkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri  antara individu yang disiasat SPRM kerana terbabit dalam penyeludupan keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.

Kegiatannya terbongkar selepas SPRM menyerbu lima negeri berlaku sindiket penyeludupan besi buruk  yang menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.

Serbuan di bawah Op Metal itu dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini