Nasihat jadi mimpi ngeri selepas anak ditemukan lemas

Nasihat jadi mimpi ngeri selepas anak ditemukan lemas

MOHD. Fauzi Mohd. Noor (kanan) bersama isterinya, Norizawati Hamzah menunggu proses bedah siasat anak sulung mereka Zaim Ikhwan di Unit Forensik, HSAH di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: “Tidak sangka nasihat terakhir saya supaya mereka jangan terlalu seronok sangat kerana kawasan perkelahan itu agak bahaya akhirnya menjadi mimpi ngeri buat kami sekeluarga,”.

Demikian kata Norizawati Hamzah, 51, yang masih terkejut dengan pemergian anaknya, Zaim Ikhwan Mohd. Fauzi, 24, yang lemas di kawasan Air Terjun Bukit Dinding, Sungai Badak, Gurun tengah hari semalam.

“Selama dia terlibat dengan aktiviti lasak seperti mendaki bukit di beberapa lokasi sebelum ini, saya tidak pernah menasihatinya demikian berbanding awal pagi semalam sebelum dia keluar rumah ke lokasi itu.

“Selepas bersalam dan memeluknya saya terasa pelik kerana masih melihatnya sehingga kelibatnya hilang daripada pandangan mata berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang pelajar lelaki sebuah universiti lemas ketika cuba membantu rakannya dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Fauzi Mohd. Noor, 52, berkata, anaknya memang gemar kepada aktiviti lasak seperti mendaki bukit selain bergiat aktif dalam sukan ragbi.i.

“Jika mempunyai masa terluang dia bersama rakan akan menyertai aktiviti mendaki. Kami kehilangan anak yang baik, mendengar kata tetapi dalam masa sama reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Katanya, jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Pisang, Sungai Dedap di Yan, selepas selesai bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN