PETALING JAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan seorang remaja lelaki yang dipercayai dibaham buaya di Pulau Bruit, Mukah, Sarawak, Jumaat lepas, ditamatkan selepas mangsa gagal ditemukan.
Semalam, sebuah mesyuarat melibatkan semua agensi diadakan bagi memutuskan penamatan operasi itu pada pukul 2 petang.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi SAR mencari mangsa, Agustine Fernando Nyalong, 14, memasuki hari ketujuh bermula seawal pukul 9 pagi dengan penglibatan beberapa agensi keselamatan serta penduduk kampung.
“Pencarian tertumpu berhampiran lokasi kejadian hingga kawasan berdekatan Kampung Sebako.
“Nanum begitu, tidak ada penemuan buaya yang terperangkap di kesemua jerat yang dipasang,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan operasi SAR berdepan kesukaran berikutan hujan lebat dan keadaan sungai yang bergelora.
“Perbincangan telah dibuat bersama semua agensi, ahli keluarga mangsa serta penduduk kampung sebelum operasi SAR dipersetujui untuk ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.10 petang,” katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya, disaksikan rakannya sebelum dimaklumkan kepada penduduk kampung. – UTUSAN










