PETALING JAYA: Polis merampas satu kilogram syabu bernilai RM35,000 selepas menahan seorang pemuda warga Indonesia dipercayai `runner’ dadah, dalam satu serbuan di Tawau, Sabah, malam semalam.
Suspek berusia 19 tahun itu, ditahan ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah premis penyimpanan sejuk beku di Jalan Chong Thien Vun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan hasil maklumat risikan yang membawa kepada pemantauan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Polis melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan selepas menjalankan pemantauan kira-kira 15 minit di lokasi.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik hitam mengandungi satu paket plastik berisi bahan hablur jernih disyaki syabu anggaran berat 1,009.47 gram.
“Suspek mengaku dadah berkenaan adalah miliknya dan peranannya sebagai ‘runner’ yang dibayar puluhan juta rupiah untuk menghantar bekalan itu ke negara ini,” katanya.
Selain syabu, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barang kemas yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Jasmin berkata, polis kini giat menjalankan risikan bagi menjejaki rangkaian atau sindiket pengedaran dadah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.
Suspek ditahan reman sehingga 9 Januari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










