KANGAR: King Pancing Udang di Kampung Guar Syed Alwi di sini menjadi ‘port’ atau tumpuan kaki pancing di negeri ini.
Kolam pancing udang tersebut yang diusahakan anak muda, Azrul Fahmi Abu Bakar,33, bersama dua sepupunya itu mendapat sambutan cukup menggalakan sejak mula beroperasi.
Azrul Fahmi berkata, memancing udang galah menjadi trend rakyat di negeri ini dengan di Perlis sekurang-kurangnya terdapat enam kolam pancing udang.
Katanya, keistimewaan kolam tersebut apabila dalam tempoh terdekat ini, mereka akan turut melepaskan lobster.
“Sambutan sangat baik daripada kaki pancing udang, dengan setiap hari tidak kurang 35 orang akan datang ke sini. Malah, jika umpan terkena, kaki pancing ini boleh mendapat udang galah sehingga berat satu kilogram.
“Kolam memancing ini dibuka pada setiap hari dengan harga ialah RM17 untuk satu jam; RM34 untuk dua jam dan RM50 untuk tiga jam dengan turut diberi tambahan masa sehingga satu jam. Manakala kanak-kanak bawah 10 tahun, bagi setiap satu jam adalah RM12.
“Kita juga menyediakan umpan cengkerik secara percuma dan tanpa had manakala umpan umpun-umpun, RM8 setiap bekas,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim merasmikan pembukaan kolam memancing udang galah tersebut.-UTUSAN










