MPP PKR belum ada kata putus gantung sembilan Ahli Parlimen - Fahmi

MPP PKR belum ada kata putus gantung sembilan Ahli Parlimen – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum mengadakan sebarang mesyuarat berhubung gesaan agar sembilan Ahli Parlimen parti itu digantung keahlian kerana mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu pelantikan kehakiman.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut wajar dirujuk kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Fuziah Salleh untuk sebarang perkembangan lanjut.

“Setakat ini, MPP belum bersidang berkenaan isu itu. Saya cadangkan rujuk kepada Setiausaha Agung untuk maklumat lanjut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan IPRM AI Festival 2025 di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), hari ini.

Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan, seramai 19 Pimpinan Cabang PKR Negeri Johor mendesak supaya sembilan Ahli Parlimen PKR termasuk bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengadakan sidang akhbar secara terbuka baru-baru ini digantung keahlian serta-merta.

Jurucakap kumpulan tersebut, Haniff@ Ghazali Hosman berkata, sidang akhbar mendesak ditubuhkan RCI berhubung isu pelantikan badan kehakiman itu telah memberikan tanggapan buruk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.

Katanya, mereka melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR  di bawah Perkara 10.1 dan 10.2. sebagai ahli parti.

Isnin lalu, sembilan Ahli Parlimen PKR termasuk Rafizi mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Selain Rafizi, MP PKR lain termasuk Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN