KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat skandal pemalsuan dokumen pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagaimana didedahkan dalam laporan penuh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia perlu ditubuhkan bagi menyiasat semua pihak yang terlibat dalam penyediaan dan pengesahan dokumen palsu berkenaan, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan juga amatlah perlu meneliti sebarang kecenderungan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Takiyuddin berkata, siasatan telus menjadi lebih mendesak apabila FAM sendiri dalam kenyataannya bertarikh 11 Jun lalu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal dokumentasi terbabit.
Dalam alasan penghakiman terhadap hukuman ke atas FAM dan tujuh pemain berkenaan, FIFA mendapati bahawa datuk atau nenek pemain-pemain itu bukan berasal dari Malaysia.
Kesemua pemain itu ialah, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Sementara itu, Takiyuddin berkata lebih mengejutkan, JPN juga mengakui tidak pernah menerima dokumen asal pemain-pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan sijil berdasarkan maklumat sekunder atau dengar cakap (hearsay).
Pendedahan itu, katanya, mengubah kes ini daripada kesilapan pentadbiran biasa kepada penipuan dan pemalsuan dokumen rasmi negara, sekali gus disifatkan sebagai perbuatan yang amat serius dan mencemarkan maruah serta reputasi Malaysia di mata dunia.
“Kesimpulan laporan FIFA amat jelas, iaitu pemalsuan ini bukanlah kesilapan teknikal, tetapi merupakan penipuan terancang. Ia juga menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem semakan dokumen oleh FAM serta agensi kerajaan seperti JPN dan Kementerian Dalam Negeri.
“Keadaan ini turut menggambarkan Malaysia kini dilihat sebagai sebuah negara yang gagal mempertahankan integriti dan kejujuran dalam urusan rasmi antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










