PETALING JAYA: Motosikal dinaiki dua individu terbabas ke dalam gaung di Jalan Kuala Kubu Bharu menghala ke Bukit Fraser di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.07 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita menaiki motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.07 pagi.
Menurut beliau, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati motosikal berkenaan telah terbabas ke dalam gaung dan terdapat dua mangsa di tempat kejadian.
“Mangsa lelaki mengalami kecederaan pada kaki dan bahu, manakala mangsa wanita cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari gaung menggunakan pengusung oleh anggota bomba.
“Dua mangsa terbabit kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – UTUSAN











