MK3D pacu ekonomi desa

MK3D 2025 pacu ekonomi desa

AHMAD Zahid Hamidi (tengah)  bersama Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar (kiri) dan Pengerusi Universiti Kuala Lumpur (Unikl), Datuk Seri Sh Mohmed Puzi  Sh Ali dalam taklimat  Mega Karnival Tiga Dimensi 2025 (MK3D) semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjuran Mega Karnival Tiga Dimensi  2025 (MK3D) yang akan diadakan dari 30 Julai sehingga 3 Ogos nanti dilihat mampu mewujudkan platform penting bagi merangsang pembangunan ekonomi luar bandar dan memperkasakan usahawan tempatan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran karnival itu juga akan menjadi  pemangkin antara agensi sokongan, pembeli dan penyedia teknologi dalam satu ekosistem  untuk pembangunan usahawan luar bandar.

Justeru,  beliau yakin karnival yang diadakan selama lima hari itu mampu menarik lebih dua juta pengunjung. 

“Kita turut menyasarkan nilai transaksi jualan sehingga RM209 juta meliputi jualan tunai, pembiayaan usahawan  serta potensi padanan perniagaan.

“Ini sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan desa dan  membantu menjana nilai ekonomi yang mampan,” katanya ketika ditemui pemberita semalam. 

Karnival MK3D bertemakan ‘Desaku Mendunia’ merupakan inisiatif merangsang pembangunan keusahawanan di bawah Kementerian Kemajuan Bandar dan Wilayah (KKDW); Felda dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menurut Ahmad Zahid, karnival yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menggabungkan tiga inisiatif utama iaitu Karnival  Usahawan Desa (KUD)  di bawah inisiatif KKDW; Hari Peneroka Felda dan  Showcase Satu Daerah Satu Industri anjuran KUSKOP.

Katanya, MK3D dalam masa yang sama merupakan  sinergi antara program seperti pensijilan  Satu Daerah Satu Industri (SDSI); transformasi Felda, serta bantuan teknikal dan pemasaran KUD dibawah satu platform  holistik.

“Ini sekali gus membolehkan usahawan mendapat akses terus kepada  pelbagai bentuk sokongan: dari pembiayaan, latihan, padanan perniagaan, hinggalah pensijilan dan pasaran  eksport.

“Ia juga dapat mengoptimumkan sumber dan  memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada  pengunjung, usahawan dan pelabur. Ini sekali gus menjimatkan kos kerajaan, mengelakkan pertindihan program, dan pada masa sama memberi  pengalaman menyeluruh kepada usahawan dan  pengunjung,” katanya. 

Menyentuh sasaran pencapaian ekonomi  MK3D kepada ekonomi pula, Ahmad Zahid berkata, karnival itu turut menyokong aspirasi Rancangan  Malaysia Ke-12 (RMKe-12), khususnya dalam teras pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan luar bandar.

Jelasnya, ini  sekali gus menggalakkan penyertaan  usahawan bumiputera dalam sektor bernilai tinggi dan melihat potensi pasaran global.

“Lebih 1,000 usahawan dari seluruh negara yang terlibat nanti akan  diberi peluang mempromosikan produk mereka dalam  persekitaran yang menghimpunkan pembeli, pelabur dan agensi sokongan.

“Kita tidak hanya melihat potensi domestik semata-mata, sebaliknya antarabnagsa. Ini sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan desa dan  membantu menjana nilai ekonomi yang mampan pada masa akan datang,” ujarnya. 

Sebagai rekod, KKDW telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta kepada 1,000 usahawan luar bandar tahun ini untuk membantu mereka mengukuh dan  mengembangkan perniagaan sedia ada. 

Tambah  Ahmad Zahid lagi, beberapa bentuk sokongan juga akan diumumkan kerajaan kepada usahawan sempena MK3D ini. 

Antaranya, Geran DIGITALBIZ oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebanyak RM5 juta  kepada 460 usahawan untuk mendigitalisasikan  perniagaan selaras dengan perkembangan teknologi digital. 

“Di samping itu, kita akan umumkan Program Pensijilan Perniagaan BEST oleh MARA bernilai RM1 juta untuk membantu 127 usahawan demi mencapai pensijilan dan transformasi operasi.

“Begitu juga  Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bernilai RM28.6 juta kepada 2,500 pekebun kecil getah bagi menggalakkan penglibatan dalam  bidang perniagaan dan keusahawanan. Ia juga akan diumumkan nanti,” jelasnya.

Antara aktiviti yang diadakan dalam MK3D termasuk pameran produk 1,000 usahawan dari seluruh negara; Jualan Rahmah MADANI; reruai Citarasa  Desa dan  jualan food truck dengan pelbagai menu tempatan unik seperti nasi  dagang atas tol dan lemang To’ki. 

Selain itu, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti  pameran agensi, pertunjukan, permainan keluarga serta sesi interaksi bersama agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai potensi karnival MK3D berdasarkan tema ‘Desaku Mendunia’ berkata, kementerian juga akan mengarusperdanakan produk dan perkhidmatan luar bandar dalam ekosistem ekonomi nasional serta antarabangsa.

Katanya, ia dilaksanakan menerusi pemadanan perniagaan, pensijilan, pendigitalan serta pendedahan kepada jaringan pelabur dan pengedar global.

“Karnival MK3D nanti akan  menyediakan ruang bagi usahawan desa membina kebolehpasaran produk, meningkatkan nilai tambah, serta memenuhi piawaian eksport melalui kerjasama erat dengan agensi seperti MARA, RISDA, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan sebagainya,” jelasnya.

Menurut Ahmad Zahid lagi, karnival MK3D menjadi titik tolak kepada satu gelombang baharu pembangunan luar bandar.

Jelasnya, karnival berkenaan bukan sahaja melonjakkan pendapatan usahawan, tetapi juga dalam aspek jati diri, keyakinan, dan daya saing masyarakat desa.

KKDW turut menyediakan kupon penggalak jualan bernilai RM500,000 untuk diagihkan secara percuma kepada pengunjung untuk diguna pakai di reruai usahawan.

Selain itu, kandungan MK3D telah direka untuk semua peringkat umur, dengan info lengkap boleh dilayari di laman web rasmi www.megakarnival3dimensi.my.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN