MGB berjaya siap awal projek Rumah Idaman Melur, 1,448 unit kediaman mampu milik untuk rakyat Selangor            - Utusan Malaysia

MGB berjaya siap awal projek Rumah Idaman Melur, 1,448 unit kediaman mampu milik untuk rakyat Selangor           

Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama sebahagian daripada penerima kunci rumah pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur. Turut mengiringi, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Ir (Dr) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad..- UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Kerajaan Negeri Selangor mencatat satu lagi kejayaan pembangunan projek kedua Rumah Idaman, iaitu Rumah Idaman Melur siap dibina yang terletak di Cybersouth, di sini dalam usaha menawarkan kediaman mampu milik kepada rakyat negeri ini.

Projek yang dibangunkan di bawah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), iaitu anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor itu dibangunkan di atas tanah seluas 12.07 ekar, merangkumi dua blok apartmen setinggi 23 tingkat dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM406 juta.

Menurut YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, Idaman Melur menampilkan sejumlah 1,448 unit kediaman dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas dan dikelilingi kehijauan semulajadi yang menyumbang kepada suasana kediaman tenang dan harmoni.

Projek berkenaan di bawah seliaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) yang mendapat kerjasama MGB Berhad (MGB) sebagai penyedia solusi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah, anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS).

Lebih menarik, MGB dapat menyerahkan kunci kepada para pemilik baharu kediaman Idaman Melur lebih awal daripada yang dijadualkan sebagaimana kejayaan penyerahan awal projek Idaman BSP pada tahun 2024.

Pencapaian ini menjadi bukti usaha berterusan MGB dalam mengejar kecemerlangan sekali gus menyokong visi Selangor untuk membina 200,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2028”.

Dato’ Seri Amirudin menegaskan, Kerajaan Negeri Selangor meletakkan komitmen berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi kediaman yang berkualiti, selesa dan dilengkapi dengan kemudahan asas yang diperlukan.

“Kami yakin, kesemua projek Rumah Idaman dibina di lokasi yang strategik dan harga mampu milik, digabungkan dengan penyertaan peralatan asas, mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor secara menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur di Cybersouth, di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin melawat salah satu unit rumah Rumah Idaman Melur. – UTUSAN/FARIZWAN ABDULLAH

Turut disaksikan tetamu kehormat, antaranya, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Merangkap Ahli Parlimen Sepang; YB Datuk Borhan Aman Shah, Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor dan YBhg. Dato’ Johary Anuar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi Pembangunan.

Selain itu, turut hadir ialah YBhg. Dato’ Dr TPr. Dr. Juhari Ahmad, Pengarah Eksekutif LPHS; YBhg. Dato’ Ts. Saipolyazan Mat Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif MBI; YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Ir (Dr) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad.

YBhg Datuk Wira Lim Hock Guan, Pengarah Urusan Kumpulan MGB Berhad, YBrs. Tuan Khairi Azali Ibrahim, Pegawai Daerah Sepang dan YBrs. Tuan Muhamad Shah Osmin, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, juga hadir pada majlis tersebut.

Enam projek Rumah Idaman MBI merangkumi sejumlah 7,210 unit kediaman mampu milik dibina menggunakan Sistem Konkrit Tetuang (IBS) dan dibangunkan oleh Konsortium PNSB Construction Sdn Bhd, anak syarikat kepada PNSB, bersama MGB.

Kesemua pembangunan Rumah Idaman MBI terdiri daripada unit kediaman bertingkat tinggi yang ditawarkan pada harga bermula RM250,000, dengan setiap unit menampilkan tiga bilik tidur dan dua bilik air berkeluasan binaan minimum 1,000 kaki persegi.

Ia dilengkapi dengan penyaman udara, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet TV serta pemanas air.

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Ir (Dr) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad, berkata, beliau berbangga dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor menerusi inisiatif Rumah Idaman MBI, satu inisiatif prihatin untuk menyediakan sehingga 30,000 kediaman mampu milik kepada rakyat Selangor.

Katanya, kerjasama pintar antara sektor awam dan swasta ini mencerminkan komitmen bersama dalam menyediakan kediaman berkualiti, lengkap dengan kemudahan, dan mesra pengguna.

“Projek Rumah Idaman yang dibangunkan oleh MGB menggunakan teknologi konkrit pratuang IBS canggih yang dibangunkan secara dalaman, yang turut digunakan di peringkat antarabangsa, termasuk dalam projek kami di Jeddah, Arab Saudi bagi fasa pertama projek ROSHN Al-Arous.

“Kami berbesar hati untuk berkongsi bahawa permintaan tempahan sangat memberangsangkan, sekali gus mengukuhkan lagi focus MGB dalam segmen ini,” katanya.

Idaman Melur telah mencatatkan skor QLASSIC yang cemerlang iaitu sebanyak 79 peratus, menepati piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan dan kualiti pembinaan

Pada masa sama, YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, CEO PNSB menyifatkan, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan MGB dalam projek perumahan mampu milik ini selari dengan komitmen dalam memperluaskan akses kepada perumahan, malah mencerminkan dedikasi kami untuk menyampaikan nilai dan kualiti kepada komuniti.

“Bersama-sama, kami memberi impak yang signifikan dalam usaha menyediakan kediaman mampu milik dan berkualiti tinggi untuk semua,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN