MELAKA : Kerajaan negeri mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung dakwaan terdapat kesilapan dalam tulisan khat kufi kalimah ‘Allah’ yang dipaparkan di ruang solat utama sebuah masjid di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan lokasi sebenar insiden tersebut, namun tidak menolak kemungkinan ia berlaku di Melaka.
Arahan segera semakan di semua masjid dan surau dikeluarkan, terutamanya yang menampilkan hiasan khat kufi pada dinding ruang solat.
“Jika benar terdapat kesilapan, pihak pengurusan masjid perlu segera melakukan pembetulan bagi mengelakkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan jemaah,” katanya di sini hari ini.
Rahmad berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan isu tersebut ditangani secara menyeluruh dan profesional.
Difahamkan, terdapat lebih 1,000 masjid dan surau di seluruh Melaka yang mungkin menggunakan elemen seni khat sebagai sebahagian daripada hiasan dalaman.
Isu ini timbul susulan hantaran dimuat naik pempengaruh media sosial, Mohd. Fadli Salleh, sekitar jam 10 pagi tadi, yang mendakwa wujud kesilapan pada khat kufi kalimah ‘Allah’ di sebuah masjid.
Hantaran itu pantas tular di media sosial, menerima hampir 2,000 reaksi, 130 perkongsian dan ratusan komen daripada warganet yang rata-rata terkejut dan menuntut tindakan segera.
Setakat ini, lokasi sebenar masjid berkenaan masih belum dikenal pasti, namun ramai pengguna media sosial mengaitkannya dengan sebuah masjid di Melaka. – UTUSAN