Status representasi kes KK Supermart diketahui 15 Julai - Utusan Malaysia

Status representasi kes KK Supermart diketahui 15 Julai

KK Mart
CHAI Kee Kan dan Loh Siew Mui hadir ke pertuduhan dihadapi mereka dekat Mahkamah Sesyen, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Status permohonan representasi yang dikemukakan oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dan isterinya berkaitan stoking tertera kalimah Allah akan diketahui pada 15 Julai depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Muhamad Anas Mahadzir memberitahu, ia ditetapkan bersekali dengan representasi bagi syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd dan tiga pengarahnya atas tuduhan sama.

Penetapan tersebut dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat memohon tarikh baharu susulan penerimaan representasi daripada kesemua tertuduh.

“Semua tertuduh mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Bagi mempertimbangkan dan mengkaji representasi tersebut, pendakwaan memohon tarikh baharu.

“Sekiranya tidak dibantah oleh pihak pembelaan, kami mencadangkan pada 15 Julai depan,” katanya pada prosiding tersebut.

Pihak pembelaan terdiri Peguam Datuk Rajpal Singjh, Datuk David Gurupatham, Datuk RS Sodhi dan Datuk Theng Book yang mewakili Datuk Seri Chai Kee Kan, 57 dan Datin Seri Loh Siew Mui, 53, serta Lau Yi Leong mewakili kilang berkenaan tidak membantah tarikh tersebut.

Untuk rekod, representasi tersebut telah dihantar pada 17 Mei lalu oleh pihak pembelaan sebelum diterima AGC pada 26 Mei lalu.

Kee Kan dan Siew Mui selaku pengarah KK Supermart & Superstore sebelum ini dituduh atas dua pertuduhan berniat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore cawangan Bandar Sunway pada 6.30 pagi, 13 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara, Pengarah Xin Jian Chang Sdn. Bhd yang juga tiga beranak iaitu Soh Chin 9Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36 didakwa bersubahat melakukan kesalahan berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 109 KK dibaca bersama Seksyen 298 KK yang memperuntukkan hukuman sama.

Dalam pada itu, Sodhi ketika ditemui selepas prosiding berkenaan menjelaskan representasi dikemukakan tersebut agar pertuduhan terhadap Kee Kan dan Siew Mui serta syarikat mereka berkaitan stoking tersebut ditarik balik.

“Anak guam saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai stoking tersebut. Mereka juga tiada membuat pesanan berkaitannya (stoking tertera kalimah Allah) dan tidak berniat menghina Islam serta perasaan masyarakat muslim di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN