PETALING JAYA: Media tidak seharusnya dijadikan alat untuk kepentingan politik mana-mana pihak sebaliknya perlu diurus secara profesional sebagai sebuah entiti perniagaan yang berasaskan etika, integriti dan tanggungjawab sosial.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam sistem demokrasi, media merupakan antara tiang penting yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat sahih dan seimbang kepada rakyat.
Beliau berkata, campur tangan politik dalam pengurusan media bukan sahaja merosakkan kredibiliti sesebuah organisasi malah boleh menyebabkan kerugian besar serta menjejaskan kehidupan kakitangan.
“Bila syarikat tidak diurus secara profesional, yang jadi mangsa bukan hanya pekerja, tetapi seluruh keluarga mereka.
“Kita ada tanggungjawab kepada semua,” katanya ketika merasmikan sambutan ulang tahun kelima Media Mulia di sini.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar .
Mengulas lanjut, Johari berkata, media perlu dijalankan atas landasan perniagaan yang kukuh serta mematuhi prinsip kewartawanan yang jujur dan beretika.
“Media ini bukan tempat untuk jadi jaguh politik. Kita kena jalankan media secara profesional, bukan ikut emosi atau tekanan luar.
“Kalau kita salah bagi maklumat, rakyat akan buat keputusan yang salah. Itu bahaya,” katanya.
Beliau berkata, penularan berita palsu di media sosial kini membimbangkan apabila hampir 60 peratus kandungan tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Rakyat banyak dapat maklumat dari media sosial. Tapi tanpa jenama media yang kuat dan dipercayai, mereka tidak tahu apa yang betul atau salah.
“Di sinilah peranan media arus perdana – menjadi sumber maklumat yang sahih dan bertanggungjawab,” katanya.
Tambah beliau, pengurusan media secara profesional akan membantu membina keyakinan pelabur dan mencerminkan kestabilan sesebuah negara.
“Dalam dunia perniagaan dan pelaburan, persepsi sangat penting. Kalau media bebas dan telus, pelabur akan yakin. Tapi kalau media diperalat untuk politik, keyakinan itu hilang,” ujarnya.
Johari turut menyeru pengamal media agar terus mempertahankan etika kewartawanan serta menolak campur tangan luar yang boleh menjejaskan kebebasan media.
“Kalau media kita kuat dan berprinsip, rakyat akan lebih makmur. Sebab maklumat yang betul akan bawa kepada keputusan yang betul,” katanya.-UTUSAN











