KOTA BHARU: Pembangunan di sekitar jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam sektor industri perkilangan dan pembuatan yang berpotensi melonjakkan ekonomi di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembangunan berasaskan kargo Cargo (COD) di Stesen Pasir Puteh yang sedang digerakkan ketika ini bukan sahaja mampu menarik pelaburan swasta dan luar negara, malah menjana rantaian ekonomi hiliran seperti perkhidmatan pengangkutan, pembungkusan serta pembekalan bahan mentah.
“Selain itu, pembangunan berasaskan transit (TOD) di Stesen Tunjong mampu menghidupkan Tunjong sebagai perbandaran baharu serta mewujudkan ekosistem ekonomi yang seimbang antara mobiliti rakyat, peluang pekerjaan dan kualiti hidup,” katanya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, cadangan meneruskan jajaran ERCL dari Kota Bharu-Rantau Panjang mampu menghidupkan semula laluan kereta api sedia ada antara Pasir Mas di Kelantan dan Sungai Golok di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Katanya, langkah itu lebih signifikan dengan cadangan yang dipersetujui antara Kerajaan Malaysia-Thailand.
Projek ECRL dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 dan perkhidmatan tren bagi laluan Kota Bharu ke Gombak, Selangor dapat beroperasi menjelang Januari 2027, sementara jajaran kedua dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap setahun kemudian. – UTUSAN









