Mampukah UMNO pertahan kerusi dimenangi dalam PRU 15? - Muhyiddin

Mampukah UMNO pertahan kerusi dimenangi dalam PRU 15? – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN (kanan) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh, di Dewan Kampung Jayor di Pagoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Mampukah UMNO mempertahankan 26 kerusi Parlimen yang dimenangi selepas mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu?

Demikian persoalan dibangkitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, pemimpin UMNO sepatutnya tidak bercakap besar untuk merampas tiga negeri di bawah PN pada pilihan raya akan datang.

“Kami ini realistik, pragmatik, kita meneliti apa yang telah dan sedang berlaku sekarang ini, yang secara umumnya ramai orang Melayu, terutama ahli UMNO, sudah menolak.

“Persoalan pokok, boleh tak UMNO pertahankan 26 kerusi? Usah cakap nak ambil semua kerusi-kerusi lain. Saya ragu. Itu yang saya fikirkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh, di Dewan Kampung Jayor hari ini.

Pada Sabtu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kedudukan kerajaan negeri diterajui PN di Perlis, Kedah dan Terengganu tidak stabil, sekali gus membuka peluang untuk BN dan PH merampasnya semula pada pilihan raya akan datang.

Mengenai hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan partinya akan bertanding di semua kerusi Bersatu dan Pas, Muhyiddin menjelaskan beliau tidak menghalang niat tersebut. 

“Tak apalah, bila bertanding dia (UMNO) kena letaklah (calon). Dia tak kata nak bertanding tapi tak letak bercalon,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin menegaskan, PN yakin dengan perkembangan semasa berbanding kedudukan UMNO ketika ini, termasuk pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin parti itu sendiri terhadap ahli-ahlinya dengan meninggalkan perjuangan asal.

Beliau berkata lagi, UMNO kini turut menyokong kerjasama dengan DAP, sebuah parti yang sejak awal lagi mempunyai ideologi yang bertentangan dengan perjuangan asal UMNO.

“Kita yakin dengan apa yang sedang berlaku, pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO terhadap ahli-ahli UMNO, dengan meninggalkan perjuangan asal dan mendokong kerjasama dengan DAP yang sejak awal lagi bertentangan ideologi dengan apa yang diperjuangkan oleh UMNO.

“Dan lain-lain isu serta masalah negara yang didokong oleh UMNO dalam PH-BN semuanya tidak membantu perpaduan mereka,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN