PUTRAJAYA: Kerajaan perlu menolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia kerana suara lantang pempengaruh konservatif itu yang terang-terangan menyokong Zionisme.
Timbalan Ketua Angkata Muda Keadilan Hang Tuah Jaya, Muhammad Hafiz Rayyan berkata, Malaysia dan mana-mana negara lain berhak menolak calon duta sebelum diterima secara rasmi.
Beliau berkata, Adams kerap mengeluarkan kenyataan bersifat Islamofobia dan menyokong Zionisme.
“Kenyataan yang dikeluarkan itu bukan sahaja bersifat dangkal, tetapi mengandungi unsur kebencian yang mendalam, prejudis yang keterlaluan dan naratif Islamofobia yang berbahaya kepada keamanan dunia.
“Apakah ini suara seorang diplomat? Apakah ini citra seorang duta atau ejen suara kebencian yang berselindung di sebalik tali hubungan antarabangsa?,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, sejak sekian lama Malaysia berdiri teguh bersama umat Palestin, menolak penjajahan dan tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah entiti sah.
Jelasnya lagi, Malaysia menyokong perjuangan kemerdekaan Palestin bukan atas dasar emosi, tetapi kerana itu prinsip yang benar dan adil.
Muhammad Hafiz berkata, tidak seharusnya individu yang secara terbuka menyokong pendudukan haram Israel diberi laluan untuk memijak bumi Malaysia.
habis.