ALOR SETAR: Pas yakin untuk meraih kemenangan sehingga 80 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdasarkan kekecewaan pengundi dengan prestasi parti yang memerintah ketika ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, perkara itu bukan mustahil sekiranya parti mampu menggempur pengundi termasuk dalam kalangan bukan Islam.
“Kita sasar 80 kerusi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut di sini hari ini.
Beliau turut mengimbas soalan yang sama di lokasi sama ketika Muktamar Tahunan Pas pada 2022 iaitu sebelum PRU15 apabila parti itu memenangi 43 kerusi daripada sasaran awal cuma 40 kerusi.
“Tiga tahun lagi tanya kembali soalan ini (sasaran kerusi dimenangi),” ujarnya.
Menyentuh tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, katanya, walaupun mengakui langkah parti agak getir untuk menawan hati pengundinya namun menaruh keyakinan untuk meraih lebih banyak kemenangan.
“Sabah ini, untuk menjadi kerajaan itu mungkin agak sukar sebab kita tahu suasana politik apa, tapi kita jangka kita akan dapat menang kerusi.
“Sebelum ini, kita sasar bertanding tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) cuma ada perkembangan baru yang mungkin kita akan tambah lagi jumlah kerusi cuma belum muktamad. Nanti DUN bubar kita muktamadkan,” katanya.-UTUSAN










