YAN: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak cadangan Pemuda parti itu yang mencalonkan namanya sebagai pilihan pertama untuk menjadi Perdana Menteri daripada Pas.
Beliau berkata, Pas mempunyai ramai tokoh lain yang jauh lebih layak dan berwibawa untuk diberi peluang memimpin negara berbanding dirinya.
“Ramai lagi calon lain yang terdiri daripada tokoh yang hebat-hebat, jauh lebih hebat daripada saya. Mereka ni sebenarnya kalau diberi peluang, Insya-Allah rakyat akan nampak kejayaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sidang As-Sabiqun Pas Pusat di Guar Chempedak, hari ini.
Tuan Ibrahim turut memberi contoh kejayaan tokoh Pas yang diberi kepercayaan sebelum ini, antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Sebelum ni, Sanusi bukan tokoh yang dikenali dalam konteks politik Malaysia kerana beliau dahulu hanya Setiausaha Politik kepada arwah Tan Sri Azizan Abdul Razak (bekas Menteri Besar Kedah), tapi bila kita letak beliau sebagai Menteri Besar lihatlah bagaimana kejayaannya.
“Sama juga dengan Ahmad Samsuri, siapa kenal dia sebelum ini. Tapi bila diberi peluang, kita nampak dia berjaya dan boleh memikul tugas dengan baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan beliau lebih selesa melihat tokoh lain dalam Pas ditonjolkan terlebih dahulu apatah lagi terdapat ramai dalam kalangan mereka yang terdiri dalam golongan profesional pelbagai bidang.
“Mungkin cadangan calon Perdana Menteri oleh Pemuda Pas sebagai gurauan saja, nanti saya akan berjumpa mereka untuk berbincang balik berkaitan perkara ini,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Tuan Ibrahim sebagai calon pertama Perdana Menteri daripada Pas sekiranya PN diberi mandat memimpin negara.
Afnan menyifatkan Tuan Ibrahim tokoh berpengalaman dan mempunyai keupayaan untuk menerajui negara di samping turut menyenaraikan beberapa nama lain yang berpotensi seperti Muhammad Sanusi, Ahmad Samsuri dan seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.-UTUSAN










