BANGKOK: Jabatan Penjara Thailand memberikan perkembangan terkini mengenai keadaan ahli politik hartawan dan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, yang kini menjalani hukuman penjara setahun selepas diperintah Mahkamah Agung pada 9 September lalu.
Leftenan Kolonel Polis, Shane Kanjanapach, Timbalan Ketua Pengarah dan jurucakap Jabatan Penjara berkata, Thaksin kini menjalani tempoh kuarantin selama lima hari sebelum pihak penjara menentukan tugasan berdasarkan kemahiran serta minat setiap banduan.
Dalam kes Thaksin, beliau mungkin diminta mengajar bahasa, sekali gus menyumbang kepada aktiviti penjara dan membantu pemulihan rakan banduan lain.
Jurucakap itu berkata, kesihatan fizikal dan mental Thaksin berada dalam keadaan normal.
Sepanjang tempoh kuarantin, beliau dilaporkan makan dua biji telur rebus dan minum kopi setiap pagi, selain tidur dengan baik.
“Beliau tidak membuat sebarang permintaan khas dan ditempatkan di bilik kuarantin bersama banduan warga emas lain, yang dianggap sesuai,” katanya.
Bagi lawatan, jabatan masih belum membenarkan mana-mana individu bertemu Thaksin, termasuk peguamnya.
Hanya sehingga 10 individu yang ditetapkan oleh Thaksin, iaitu isteri, anak dan ahli keluarga terdekat, dibenarkan untuk melawat beliau, selaras peraturan penjara.
Peguamnya, Winyat Chatmontree berkata, beliau masih belum berjumpa dengan Thaksin kerana tempoh kuarantin, namun memaklumkan keadaan anak guamnya baik.
Beliau dijadualkan bertemu Thaksin buat pertama kali pada Isnin ini dan menjelaskan sebarang keputusan berkaitan tugas di penjara perlu dirujuk kepada Jabatan Penjara.- AGENSI










