PUTRAJAYA: Malaysia akan melaksanakan kajian perbandingan awal mengenai pendekatan sistem pelantikan kehakiman di beberapa negara terpilih iaitu United Kingdom, India, Australia dan Singapura.
Perkara itu dicapai menerusi perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang Dewan Negara, Rita Sarimah anak Patrick Insol serta Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat, William Leong Jee Keen, hari ini.
Menerusi kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang- Undang (BHEUU) memaklumkan, ia susulan kebimbangan awam mengenai perkembangan terkini mengenai isu pelantikan kehakiman dan menekankan kepentingan penelitian yang lebih mendalam bagi memastikan proses tersebut lebih telus serta diyakini.
“Perbincangan ini diadakan berhubung keprihatinan rakyat mengenai reformasi sistem kehakiman negara bagi menjamin integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang.
“Kajian perbandingan awal ini akan memberi kefahaman holistik tentang proses pelantikan kehakiman di negara-negara dengan sistem yang serupa bagi membolehkan Malaysia menilai secara berasaskan keterangan keperluan reformasi dan menyesuaikan amalan terbaik mengikut konteks negara,” katanya hari ini.
BHEUU berkata, kajian ini juga bertujuan menilai model pelantikan kehakiman yang berkesan dan mengenal pasti amalan terbaik.
Ini termasuk mengesyorkan pembaharuan yang sesuai bagi konteks Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan melalui BHEUU turut mengalu-alukan pandangan dan maklum balas orang awam mengenai perkara ini.
“Pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan setiap perspektif diambil kira sebelum hasil kajian dibentangkan bagi pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.
Pada masa sama, BHEEU menegaskan, kerajaan kekal komited untuk memperkukuh keyakinan awam dengan melaksanakan reformasi yang berasaskan keterangan dan telus.
Sebelum ini, sembilan ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan yang berlegar berhubung pelantikan hakim.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, proses pelantikan jawatan hakim tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan undang-undang tertinggi negara itu. – UTUSAN